Winter Duo Championship – UMNO Cairo Club 2008

LAPORAN WINTER DUO-CHAMPIONSHIPS 2008

 ( KEJOHANAN SEPAK TAKRAW DAN BOLA TAMPAR )

Pada 9 hingga 11 Mac 2008 yang lalu, Kelab UMNO Kaherah telah menganjurkan satu kejohanan sukan yang dibuka kepada semua pelajar Malaysia yang berada di Mesir. Kejohanan ini dinamakan (WINTER DUO-CHAMPIONSHIPS). Ianya merupakan kejohanan kali pertama yang dianjurkan pada tahun 2008. Dari segi perlaksanaannya adalah berteraskan ukhuwah dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara pelajar dengan pihak Kedutaan Malaysia. Seterusnya adalah untuk mengasah bakat para pelajar Malaysia dalam bidang sukan khususnya sukan bola tampar dan sepak takraw. Di samping itu juga, ianya bertujuan untuk memperkenalkan sukan sepak takraw kepada masyarakat Arab Mesir.

Kejohanan sukan ini yang bertemakan “ WARISAN TRADISI PENGERAT UKHUWAH” telah berlangsung selama tiga hari bertempat di Dataran Kompleks Malaysia, Hayyu Asyir, Kaherah. Kejohanan kali ini telah disertai oleh sepuluh pasukan bola tampar dan 16 pasukan sepak takraw yang melibatkan semua pasukan negeri dalam Malaysia. Pasukan Kelab UMNO Kaherah juga turut menghantar wakil untuk memeriahkan lagi kejohanan tersebut yang turut disertai oleh beberapa orang pegawai kedutaan.

Aturcara kejohanan ini dimulakan dengan majlis perasmian Kejohanan Winter Duo-Championships yang telah disempurnakan oleh wakil Kedutaan Encik Mohd Puat Bin Yusof, Atase Pendidikan, Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah. Dalam ucapan perasmiannya beliau menegaskan bahawa amat penting bagi pelajar- pelajar terutamanya pelajar Universiti Al- Azhar yang mendalami ilmu agama untuk turut serta melibatkan diri dalam acara sukan tidak sahaja dalam bidang ilmiah semata- mata.

Semua pasukan yang bertanding menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi tanpa berlaku sebarang masalah sepanjang kejohanan ini berlangsung. Di akhir kejohanan pasukan Negeri Sembilan telah berjaya merangkul johan mengalahkan pasukan negeri Pahang dalam acara bola tampar. Bagi acara sepak takraw pasukan negeri Melaka telah berjaya menewaskan pasukan negeri Pahang untuk merangkul johan. Tirai kejohanan Winter Duo-Championships dilabuhkan dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah yang telah disempurnakan oleh Saudara Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara cawangan Kaherah, Eka Sudarmono bin Sukarno.

Kejohanan kali ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya dengan bantuan semua pihak terutamanya pihak kedutaan yang memberikan sokongan seratus peratus terhadap kelangsungan kejohanan Winter Duo-Championships ini. Kejohanan ini juga berjaya menyatukan semua pelajar Malaysia yang berada di Mesir untuk sama- sama melibatkan diri dalam kejohanan sukan kali ini. Diharapkan kejohanan- kejohanan seumpama ini akan diteruskan lagi di masa akan datang untuk mengisi masa lapang pelajar di samping mengeratkan ukhuwah sesama pelajar- pelajar di Mesir.

Disediakan oleh,

MUHAMAD SYAFIQ BIN ISMAIL

Pengarah Winter Duo-Championships 2008

Kejohanan Sepak Takraw dan Bola Tampar

Leave a Reply