
KUALA LUMPUR -
Siswazah Universiti Al-Azhar disaran supaya keluar daripada kepompong untuk melakukan perubahan dan pembangunan ummah dengan lebih dinamik bagi memartabatkan ajaran Islam selaras dengan Islam Hadhari.
Pensyarah di Jabatan Fikh dan Usul, Universiti Malaya, Datuk Prof. Mahmud Zuhdi Abd. Majid, berkata, sudah sampai masanya siswazah universiti dari Mesir itu mengorak langkah untuk mempengaruhi masyarakat Islam supaya lebih berani dalam menghadapi era globalisasi.
Menurut Mahmud, sekian lama kumpulan lepasan Al-Azhar hanya menjadi guru-guru agama di sekolah dan pentadbir di jabatan-jabatan kerajaan apabila pulang dari Mesir.
“Kita sebenarnya memerlukan mereka melakukan lebih daripada itu bagi mengubah minda masyarakat dan maju seiring dengan bangsa-bangsa lain di dalam negeri dan peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang alumni Al-Azhar 1988, Dir Muhamad, dari Sri Lanka yang mahukan umat Islam tidak dikelirukan oleh pandangan Barat yang menolak nilai-nilai Islam dijadikan panduan hidup.
Dir Muhamad juga mahukan siswazah Al-Azhar memainkan peranan yang lebih berkesan dan dapat mempengaruhi umat Islam sedunia mengenai hubungan akidah dengan pembangunan yang meliputi semua aspek kehidupan.
Dir memberi pendapatnya pada sesi soal-jawab Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008, anjuran Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sebelum itu, Mahmud menyarankan supaya negara-negara Islam bersatu memperkukuhkan aspek kerohanian dan materialisme bagi menghadapi tentangan daripada Barat.
“Negara-negara Islam memang kukuh dari aspek kerohanian tetapi kurang maju dari segi materialisme termasuk kekayaan teknologi serta kewangan dan kerana itu kita tidak mampu untuk menangkis dan membantu negara-negara Islam yang diserang oleh kuasa Barat.
“Oleh yang demikian kita perlu melakukan sesuatu bagi menyelesai dan mengatasi masalah ini,” jelas Mahmud yang membentangkan kertas kerja ‘Islam Hadhari dan Pemahamannya’.
Dalam kertas kerjanya, Mahmud antara lain mencadangkan agar umat Islam menguasai bidang politik dengan kukuh dan digabungkan dengan kemajuan ekonomi serta teknologi moden.
“Malaysia berada dalam kedudukan menuju ke arah itu walaupun masih belum setanding dengan negara-negara lain seperti Singapura dan Amerika Syarikat yang begitu kaya dengan teknologi dan materialisme,” katanya.
Posted by umnocairo 
Posted by umnocairo 









