Siswazah Pengajian Islam diberi latihan kemahiran tambahan

July 13, 2008

SEPANG 13 Julai – Siswazah jurusan Pengajian Islam akan diberi latihan untuk memperolehi kemahiran tambahan bagi membantu mereka mendapat tempat di alam pekerjaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siswazah jurusan tersebut sering bermasalah untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan nilai pasaran pekerjaan mereka yang tidak tinggi.

Menurut Khaled, latihan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri sangat dititikberatkan, memandangkan ramai di antara siswazah mengambil jurusan pengajian yang tidak selari dengan pasaran pekerjaan.

Katanya, terdapat ramai siswazah seperti ini dan bila mereka keluar tidak ada yang berminat untuk mengambil mereka bekerja sebab tiada kemahiran bersesuaian. – Utusan


Tahniah Cairo FC !

July 5, 2008

Kaherah- 28hb Jun 2008 baru-baru ini, satu pertandingan futsal piala pusingan 2008 yang dianjurkan oleh Ikatan Ulul Albab Terengganu Mesir, menyaksikan pertandingan yang sengit semasa akhir perlawanan di antara pasukan Kedah FC dan Cairo FC. Suasana yang tegang dengan sorakan penyokong dari Kedah FC telah menyebabkan pengaruh semangat Kedah FC membuak-buak dan ini membuatkan pasukan Cairo FC yang mewakili pasukan dari Kelab UMNO Kaherah merundum dan emosi pemain sedikit terganggu dan ini menyebabkan strategik permainan dari Cairo FC kucar-kacir. Walaubagaimanapun hanya mendapat tempat Naib Johan bagi piala pusingan Ikatan Ulul Albab Terengganu Mesir, namun apa yang terpenting dari kejohanan tersebut adalah sikap ukhuwah dan persahabatan yang terjalin di antara pasukan-pasukan yang lain. Ini dibuktikan semasa perlawanan akhir pertandingan tersebut, meskipun beberapa insiden di antara pasukan lawan berlaku namun salam harmoni kemesraan terbina di atas Dataran Kompleks Melayu Hayyu Asyir dengan disaksikan oleh Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Jamil Hashim Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah yang baru.

Pertandingan Futsal Piala Pusingan 2008 anjuran Ikatan Ulul Albab Terengganu Mesir tersebut yang berjalan selama tiga hari, yang bermula pada 26hb hingga 28hb Jun 2008 telah disertai oleh 21 pasukan dari berbagai negeri dan persatuan pelajar Malaysia di Mesir. Semoga kejohanan-kejohanan seperti ini mampu mengeratkan lagi tali ukhuwah silaturahim di antara hati pelajar-pelajar Malaysia di Bumi Anbiya’.


Fatwa minyak Al-Azhar

June 16, 2008

KAHERAH – Universiti Al-Azhar Mesir mengeluarkan fatwa bahawa sebahagian pendapatan sumber minyak dan gas negara berkenaan perlu diberikan kepada penduduk miskin yang terjejas akibat kenaikan harga makanan.

Pusat Penyelidikan Islam Universiti al-Azhar mengeluarkan fatwa bahawa adalah tugas suci untuk mengeluarkan zakat sebanyak 20 peratus daripada keuntungan minyak, gas dan mineral.

“Fatwa itu berdasarkan hadis Nabi Muhammad s.a.w yang menyatakan bahawa zakat juga wajib terhadap semua besi dan mineral tidak kira dalam bentuk pepejal atau cecair,” kata seorang pensyarah universiti al-Azhar. -

Admin MULTEC


Lepasan Al-Azhar perlu lebih dinamik bangunkan ummah

May 5, 2008

KUALA LUMPUR -

Siswazah Universiti Al-Azhar disaran supaya keluar daripada kepompong untuk melakukan perubahan dan pembangunan ummah dengan lebih dinamik bagi memartabatkan ajaran Islam selaras dengan Islam Hadhari.

Pensyarah di Jabatan Fikh dan Usul, Universiti Malaya, Datuk Prof. Mahmud Zuhdi Abd. Majid, berkata, sudah sampai masanya siswazah universiti dari Mesir itu mengorak langkah untuk mempengaruhi masyarakat Islam supaya lebih berani dalam menghadapi era globalisasi.

Menurut Mahmud, sekian lama kumpulan lepasan Al-Azhar hanya menjadi guru-guru agama di sekolah dan pentadbir di jabatan-jabatan kerajaan apabila pulang dari Mesir.

“Kita sebenarnya memerlukan mereka melakukan lebih daripada itu bagi mengubah minda masyarakat dan maju seiring dengan bangsa-bangsa lain di dalam negeri dan peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang alumni Al-Azhar 1988, Dir Muhamad, dari Sri Lanka yang mahukan umat Islam tidak dikelirukan oleh pandangan Barat yang menolak nilai-nilai Islam dijadikan panduan hidup.

Dir Muhamad juga mahukan siswazah Al-Azhar memainkan peranan yang lebih berkesan dan dapat mempengaruhi umat Islam sedunia mengenai hubungan akidah dengan pembangunan yang meliputi semua aspek kehidupan.

Dir memberi pendapatnya pada sesi soal-jawab Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008, anjuran Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sebelum itu, Mahmud menyarankan supaya negara-negara Islam bersatu memperkukuhkan aspek kerohanian dan materialisme bagi menghadapi tentangan daripada Barat.

“Negara-negara Islam memang kukuh dari aspek kerohanian tetapi kurang maju dari segi materialisme termasuk kekayaan teknologi serta kewangan dan kerana itu kita tidak mampu untuk menangkis dan membantu negara-negara Islam yang diserang oleh kuasa Barat.

“Oleh yang demikian kita perlu melakukan sesuatu bagi menyelesai dan mengatasi masalah ini,” jelas Mahmud yang membentangkan kertas kerja ‘Islam Hadhari dan Pemahamannya’.

Dalam kertas kerjanya, Mahmud antara lain mencadangkan agar umat Islam menguasai bidang politik dengan kukuh dan digabungkan dengan kemajuan ekonomi serta teknologi moden.

“Malaysia berada dalam kedudukan menuju ke arah itu walaupun masih belum setanding dengan negara-negara lain seperti Singapura dan Amerika Syarikat yang begitu kaya dengan teknologi dan materialisme,” katanya.


Majlis Kesyukuran

May 2, 2008

Tahniah kepada pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) melalui Pemangku Pengarah Yang Berbahagia Encik Mohd. Puat bin Yusof kerana telah berjaya mengadakan Majlis Kesyukuran sempena Middle East Career Carnival 2007 (MECC) atau Karnival Kerjaya Timur Tengah 2007 di Restorant Coquillage (Kapal), Tahrir, Kaherah, pada 12 April 2008.

Turut hadir pada majlis tersebut TYT Datuk Zainal Ab Kadir Duta Besar Malaysia ke Kaherah, pegawai-pegawai Atase Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, pegawai-pegawai Rumah Negeri, persatuan-persatuan Pelajar Malaysia di Mesir dan Pengerusi-pengerusi Kelab UMNO Luar Negara bahagian Mesir (Damanhur, Tanta, Kaherah, Iskandariah dan Mansoura).

Objektif majlis tersebut diadakan adalah untuk meraikan kepada seluruh jawatankuasa Karnival Kerjaya Timur Tengah 2007, yang dianggarkan dalam 200 orang. Pada akhir majlis tersebut, TYT Datuk Duta telah menyampaikan cenderamata serta sijil penghargaan kepada seluruh jawatankuasa MECC 2007.

Majlis tersebut juga diadakan sempena Imtihan bagi Semester ke 2 Tahun 2008.

Syabas dan tahniah sekali lagi diucapkan dari kami pihak Kelab UMNO Kaherah kepada JPMK…!


TAHNIAH LAMAN WEB KULN DIHARGAI

April 29, 2008

KUALA LUMPUR : Laman Web KULN terus mendapat sambutan dengan kunjungan melepasi 300,000 hits dalam tempoh setahun yang boleh dianggap ‘Menyengat’.

Malah 65% daripada pengunjung adalah di kalangan ahli kelab manakala baki 35% dari dalam negara. Ia juga mendapat perhatian beberapa institusi luar negara terutama oleh US Library, kedutaan US di Malaysia dan British Council.
Permintaan jalinan kerjasama juga telah diterima daripada agensi luar khasnya NGO. US Library di kedutaannya pula meminta kebenaran untuk sedutan maklumat laman web ini secara rasmi.

Tidak cukup dengan itu, ‘Page Rank’ oleh google telah memberitahu ‘Tiga Bar’ untuk laman web www.kelab-umno.com .

Pencapaian terbaik laman web di Malaysia ialah The Star Online dan Malaysia Today; kedua-duanya mencatat ‘Tujuh Bar’.

Syabas Laman Web KULN..!!


Kursus Pengurusan Organisasi

April 11, 2008

Kaherah, 17 Februari 2008 – Satu Kursus Pengurusan Organisasi Kelab UMNO Mesir 2008 telah diadakan, iaitu hasil kerjasama pihak Kelab UMNO Kaherah, Kedutaan Besar Malaysia ke Kaherah (KBMK), Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) dan Petronas.

Kursus tersebut telah dihadiri oleh Jawatankuasa Kerja dari setiap cawangan Kaherah, Tanta, Damanhur, Mansoura dan Iskandariah. Begitu juga, kursus tersebut turut dihadiri oleh Jawatankuasa Kerja Badan Perhubungan Negeri-negeri di bawah kelolaan Kelab UMNO Luar Negara Mesir. Justeru dengan motto kursus pada kali ini, “ Memupuk Semangat Kepimpinan Masa Hadapan”, memberikan satu nilai tambah kepada setiap ahli Jawatankuasa Kerja dengan penambahan-penambahan ilmu serta maklumat yang disampaikan oleh setiap penceramah. Slot Motivasi Kepimpinan merupakan slot pertama yang disampaikan oleh Encik Puzi Dahaman selaku Ketua Canseri Kedutaan Besar Malaysia ke Kaherah, ternyata memberikan suntikan kuasa infiniti kepada jati diri setiap peserta, bagi membina keperibadian yang bersifat inovatif, kreatif dan berkarisma.

Slot seterusnya disampaikan oleh Encik Tunku Iskandar wakil dari pihak Petronas, berkenaan dengan “Belia : Acuan Masa Hadapan”. Kemudian pada akhir kursus tersebut, 3 kelompok bengkel telah dibahagikan mengikut klasifikasi setiap jabatan dan biro, iaitu Jabatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi telah dikendalikan oleh Encik Mohd. Puat Yusof(Pegawai Atase JPMK), manakala Jabatan Setiausaha telah dikendalikan oleh Puan Norlaila Othman (Setiausaha TYT Datuk Duta Besar Malaysia ke Kaherah) dan Jabatan Biro-biro dikendalikan oleh Encik Abd Malik Kahar (Pegawai Khas, Negeri Sembilan Mesir). Kursus yang diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah tersebut, merupakan program yang julung-julung kali diadakan oleh pihak Kelab UMNO Kaherah. Manakala bagi Jabatan Bendahari, kursus khas akan diadakan pada Ahad, 24 Februari 2008 bertempat di Dewan Kelab UMNO Kaherah, yang akan dikendalikan oleh Puan Rohaya Ramly selaku Penolong Akauntan JPMK.

Laporan dari Kelab UMNO Kaherah, Mesir


Winter Duo Championship – UMNO Cairo Club 2008

April 2, 2008

LAPORAN WINTER DUO-CHAMPIONSHIPS 2008

 ( KEJOHANAN SEPAK TAKRAW DAN BOLA TAMPAR )

Pada 9 hingga 11 Mac 2008 yang lalu, Kelab UMNO Kaherah telah menganjurkan satu kejohanan sukan yang dibuka kepada semua pelajar Malaysia yang berada di Mesir. Kejohanan ini dinamakan (WINTER DUO-CHAMPIONSHIPS). Ianya merupakan kejohanan kali pertama yang dianjurkan pada tahun 2008. Dari segi perlaksanaannya adalah berteraskan ukhuwah dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara pelajar dengan pihak Kedutaan Malaysia. Seterusnya adalah untuk mengasah bakat para pelajar Malaysia dalam bidang sukan khususnya sukan bola tampar dan sepak takraw. Di samping itu juga, ianya bertujuan untuk memperkenalkan sukan sepak takraw kepada masyarakat Arab Mesir.

Kejohanan sukan ini yang bertemakan “ WARISAN TRADISI PENGERAT UKHUWAH” telah berlangsung selama tiga hari bertempat di Dataran Kompleks Malaysia, Hayyu Asyir, Kaherah. Kejohanan kali ini telah disertai oleh sepuluh pasukan bola tampar dan 16 pasukan sepak takraw yang melibatkan semua pasukan negeri dalam Malaysia. Pasukan Kelab UMNO Kaherah juga turut menghantar wakil untuk memeriahkan lagi kejohanan tersebut yang turut disertai oleh beberapa orang pegawai kedutaan.

Aturcara kejohanan ini dimulakan dengan majlis perasmian Kejohanan Winter Duo-Championships yang telah disempurnakan oleh wakil Kedutaan Encik Mohd Puat Bin Yusof, Atase Pendidikan, Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah. Dalam ucapan perasmiannya beliau menegaskan bahawa amat penting bagi pelajar- pelajar terutamanya pelajar Universiti Al- Azhar yang mendalami ilmu agama untuk turut serta melibatkan diri dalam acara sukan tidak sahaja dalam bidang ilmiah semata- mata.

Semua pasukan yang bertanding menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi tanpa berlaku sebarang masalah sepanjang kejohanan ini berlangsung. Di akhir kejohanan pasukan Negeri Sembilan telah berjaya merangkul johan mengalahkan pasukan negeri Pahang dalam acara bola tampar. Bagi acara sepak takraw pasukan negeri Melaka telah berjaya menewaskan pasukan negeri Pahang untuk merangkul johan. Tirai kejohanan Winter Duo-Championships dilabuhkan dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah yang telah disempurnakan oleh Saudara Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara cawangan Kaherah, Eka Sudarmono bin Sukarno.

Kejohanan kali ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya dengan bantuan semua pihak terutamanya pihak kedutaan yang memberikan sokongan seratus peratus terhadap kelangsungan kejohanan Winter Duo-Championships ini. Kejohanan ini juga berjaya menyatukan semua pelajar Malaysia yang berada di Mesir untuk sama- sama melibatkan diri dalam kejohanan sukan kali ini. Diharapkan kejohanan- kejohanan seumpama ini akan diteruskan lagi di masa akan datang untuk mengisi masa lapang pelajar di samping mengeratkan ukhuwah sesama pelajar- pelajar di Mesir.

Disediakan oleh,

MUHAMAD SYAFIQ BIN ISMAIL

Pengarah Winter Duo-Championships 2008

Kejohanan Sepak Takraw dan Bola Tampar


Kempen ” Selamatkan Sufiah “

April 2, 2008

Assalamualaikum,

Seperti yang sedia maklum, negara telah dikejutkan dengan berita Sufiah Yusof, seorang gadis pintar matematik yang pernah menggemparkan dunia apabila layak memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun kini dilaporkan terpaksa menjadi pekerja seks di Salford, UK untuk menyara kehidupannya.

Sehubungan itu, Sekretariat KULN yang turut prihatin terhadap gadis malang itu, menyeru ahli-ahli KULN serta warga Malaysia di seluruh UK bersama-sama membantu kerajaan Malaysia dalam kempen ‘Selamatkan Sufiah’ bagi mencari kaedah untuk membantu menyelamatkan Sufiah.

Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat bagi membantu usaha ini bolehlah diemailkan kepada kelab_umno@yahoo.com / info.umnocairo@gmail.com atau menghubungi pihak MSD, Kedutaan Malaysia atau Jabatan Perdana Menteri di Malaysia.

Kerjasama sdr/sdri amat diharapkan. Terima kasih.

 


Global Malaysia

April 2, 2008

Gabungan Kelab-Kelab UMNO Luar Negara (KULN) dengan kerjasama Sekretariat KULN telah melancarkan projek bank resume di mana Kelab-Kelab UMNO di lokasi masing-masing akan mengumpulkan resume bakal-bakal graduan yang bakal menamatkan pengajian untuk dikompilasikan dalam cakera DVD yang kemudiannya akan diedarkan ke syarikat-syarikat GLCs dan firma-firma multinasional di Malaysia.

Selain membantu ahli-ahli Kelab, dengan keluasan jaringan Kelab UMNO yang bertapak di serata dunia, ditambah dengan peningkatan penghantaran pelajar cemerlang ke universiti terkemuka luar negara, Kelab UMNO mampu menjadi perintis untuk mengenal-pasti graduan-graduan cemerlang yang ingin pulang berkhidmat kepada negara, sekaligus menyumbang kepada kemajuan human capital bagi mengekalkan kemantapan ekonomi Malaysia.

Program ini adalah percuma untuk ahli Kelab, dan bukan ahli dikenakan yuran pemprosesan minimum atas budi-bicara untuk dana Kelab masing-masing. Tarikh akhir untuk menerima resume daripada pelajar-pelajar yang akan menamatkan pengajian bermula bulan Mei ini hingga Mei tahun depan ialah 31 April 2008.

Diharap, ahli-ahli Kelab UMNO Mesir yang berminat dapat mengambil tindakan dengan seberapa segera. Iaitu dengan menghantar email anda ke info.umnocairo@gmail.com untuk kami sampaikan tindakan selanjutnya.