
Kaherah, 17 Februari 2008 – Satu Kursus Pengurusan Organisasi Kelab UMNO Mesir 2008 telah diadakan, iaitu hasil kerjasama pihak Kelab UMNO Kaherah, Kedutaan Besar Malaysia ke Kaherah (KBMK), Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) dan Petronas.
Kursus tersebut telah dihadiri oleh Jawatankuasa Kerja dari setiap cawangan Kaherah, Tanta, Damanhur, Mansoura dan Iskandariah. Begitu juga, kursus tersebut turut dihadiri oleh Jawatankuasa Kerja Badan Perhubungan Negeri-negeri di bawah kelolaan Kelab UMNO Luar Negara Mesir. Justeru dengan motto kursus pada kali ini, “ Memupuk Semangat Kepimpinan Masa Hadapan”, memberikan satu nilai tambah kepada setiap ahli Jawatankuasa Kerja dengan penambahan-penambahan ilmu serta maklumat yang disampaikan oleh setiap penceramah. Slot Motivasi Kepimpinan merupakan slot pertama yang disampaikan oleh Encik Puzi Dahaman selaku Ketua Canseri Kedutaan Besar Malaysia ke Kaherah, ternyata memberikan suntikan kuasa infiniti kepada jati diri setiap peserta, bagi membina keperibadian yang bersifat inovatif, kreatif dan berkarisma.
Slot seterusnya disampaikan oleh Encik Tunku Iskandar wakil dari pihak Petronas, berkenaan dengan “Belia : Acuan Masa Hadapan”. Kemudian pada akhir kursus tersebut, 3 kelompok bengkel telah dibahagikan mengikut klasifikasi setiap jabatan dan biro, iaitu Jabatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi telah dikendalikan oleh Encik Mohd. Puat Yusof(Pegawai Atase JPMK), manakala Jabatan Setiausaha telah dikendalikan oleh Puan Norlaila Othman (Setiausaha TYT Datuk Duta Besar Malaysia ke Kaherah) dan Jabatan Biro-biro dikendalikan oleh Encik Abd Malik Kahar (Pegawai Khas, Negeri Sembilan Mesir). Kursus yang diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah tersebut, merupakan program yang julung-julung kali diadakan oleh pihak Kelab UMNO Kaherah. Manakala bagi Jabatan Bendahari, kursus khas akan diadakan pada Ahad, 24 Februari 2008 bertempat di Dewan Kelab UMNO Kaherah, yang akan dikendalikan oleh Puan Rohaya Ramly selaku Penolong Akauntan JPMK.
Laporan dari Kelab UMNO Kaherah, Mesir
Posted by umnocairo 
Posted by umnocairo 
Posted by umnocairo 











